Semasa kami memancing, cuaca berubah menjadi sangat teruk. Memanggilnya ribut petir tidak tepat, kerana ia adalah sisa taufan dari malam sebelum yang telah merobohkan rumah dan pokok-pokok. Kami berlindung di bawah jambatan, sebelum keputusan bodoh dibuat untuk keluar dan terus memancing di dalam ribut petir tersebut. Hujan dan arus air yang laju menyebabkan sukar untuk mengesan kumpulan anak toman, maka kami beralih untuk mensasarkan toman bujang dengan membaling buzzbait ke kawasan struktur dengan harapan mendapat sebuah sambaran. Tiba-tiba, tekong bot rakan saya, Jared dan Joel berjaya mengesan sekumpulan anak toman di dalam pepohonan dan mencadangkan mereka untuk mencuba memujuk induknya. Oleh kerana jaraknya sangat dekat, balingan tidak dapat dilakukan dan mereka hanya menjatuhkan dan mengunjun spinnerbait dan gewang jenis “vibration” dalam kumpulan anak tersebut.
Gewang “vibration” Jared tiba-tiba dihenjut ke bawah dan pertarungan bermula. Ikan tersebut didaratkan dalam hanya beberapa saat dengan drag kekilinya dikunci rapat dan joran KOZ Expedition memaksa ikan tersebut untuk timbul, sekaligus menjadi ikan pertama yang didaratkan bagi trip ini. Saya dan Danny pula masih melaksanakan balingan sambil menggigil di dalam hujan. Langit semakin gelap dan kami perlahan-lahan menuju kembali ke jeti. Walau bagaimanapun, saya bernasib baik apabila seekor toman bujang berskala 10lb menyambar buzzbait saya tidak jauh dari jeti. Dengan pokok tumbang di sekitar bot, drag Revo Rocket dikunci rapat untuk menewaskan toman tersebut. Walaupun ramai pemancing menyatakan toman sungai bertarung dengan lebih kuat, saya dan Jared bersetuju bahawa kami tidak merasakan banyak perbezaan apabila dibandingkan dengan pertarungan toman di tasik.
Kesimpulannya, saya percaya Sungai Kedah menyimpan potensi untuk pancingan toman yang sangat unik. Kekuatan pertarungan toman disini dibandingkan dengan toman di empangan boleh dibincangkan kerana kemungkinan jawapannya terletak pada kawasan sempit dan “heavy cover” yang memberikan pemancing peluang merasakan tenaga sebenar toman apabila menggunakan drag yang dikunci. Walau bagaimanapun, pemancing perlu melaksanakan tanggungjawab iaitu memastikan ikan selamat dilepaskan bagi memelihara perairan ini. Dengan berita merisaukan dari tekong-tekong disini tentang penangkapan induk toman oleh penduduk tempatan untuk dimakan, saya terfikir berapa lama lagi pancingan unik di perairan ini dapat bertahan. Kita semua perlu mencubanya sementara ia masih ada.