Salah satu perkara yang membuatkan pancing layang menyeronokkan dan penuh pembelajaran adalah untuk menangkap lebih banyak ikan, pemancing layang mesti mengkaji alam sekitar atau tempat (tasik, kolam, sungai, laut, dan sebagainya) yang ingin dipancing. Ini kerana mengetahui pelbagai jenis serangga, anak ikan, benda-benda yang dimakan oleh ikan-ikan ini dan lain-lain yang terdapat di tempat-tempat ini membantu pemahaman diet ikan. Dengan maklumat itu, umpan fly boleh diikat (dibuat) untuk kelihatan sama dengan diet ikan. Satu istilah yang mesti diketahui adalah “match the hatch” yang bermaksud untuk menyalin atau menggunakan apa yang kelihatan seperti makanan yang dimakan ikan di sesuatu kawasan itu.
Umpan fly adalah umpan buatan tangan menggunakan bahan semulajadi dan / atau tiruan, diikat ke mata kail untuk meniru serangga, udang, ketam, ikan, telur, dan lain-lain yang terdapat di dalam dan di sekitar kawasan pancingan. Anda mungkin tertanya-tanya, “Mengapa perlu susah-susah untuk mengikat umpan fly apabila seseorang boleh menangkap serangga tersebut dan gunakan sebagai umpan?” Nah, ia lebih memuaskan apabila dapat menangkap ikan dengan sesuatu yang dicipta oleh diri anda untuk meniru mangsa ikan, sama ada serangga, sejenis anak ikan atau buah-buahan dari pokok-pokok di tebing sungai atau tepi tasik. Untuk seorang pemancing layang, kepuasan terbesar terletak pada penciptaan umpan fly sendiri, membalingnya ke ikan, mencangkuknya, mendaratkannya dan menghargai keindahan ikan itu sebelum melepaskan ia kembali ke habitatnya. Ini adalah bentuk tertinggi pancingan rekreasi. Ia juga merupakan seni dan bukan sekadar memancing. Mengikat umpan fly tidak memerlukan replika tepat mangsa ikan tetapi cukuplah untuk mencipta sesuatu yang mirip. Yang lebih penting adalah untuk mempersembahkan umpan fly yang sama dengan saiz dan warna kepada mangsa, sama ada umpan fly jenis “wet” atau “dry”.
Dalam artikel ini ayuh melihat beberapa jenis umpan fly yang digunakan untuk pancing layang. Ini akan memberikan anda sedikit gambaran jenis umpan fly untuk digunakan apabila anda mencuba pancing layang di lubuk kegemaran anda.